Para pembantah Myanmar rai ulang tahun pemberontakan 1988

YANGON, 8 OGOS – Para penunjuk perasaan Myanmar hari ini menandakan ulang tahun pemberontakan prodemokrasi 1988 yang menjadikan Aung San Suu Kyi terkenal.

Meskipun dikawal tentera, para pembantah tetap meneruskan bantahan kilat jalanan untuk menuntut penamatan Majlis Pentadbiran Kerajaan yang digelar junta sebagai ‘penjaga’ kerajaan.

Hari ini, beberapa kumpulan muncul di seluruh Yangon dan bandar kedua Mandalay untuk memperingati pemberontakan 1988 – gerakan prodemokrasi besar-besaran yang dihalang secara kejam dengan melepaskan tembakan ke arah pembantah dan memenjarakan ribuan yang lain.

Susulan seruan menerusi kempen online itu, para pembantah berpakaian merah hari ini menunjukkan isyarat lapan jari dan membawa kain rentang yang berbunyi: ‘Mari kembalikan hutang darah lama 1988 pada tahun 2021’.

“Pada 1988, negara kita banyak berkorban – ramai yang hilang nyawa. Namun kepimpinan diktator masih hidup,” kata Ko Sai Win, yang menyertai bantahan pagi di Mandalay.

“Ia adalah bayangan gelap terhadap negara kita.” – AFP