KUALA LUMPUR, 2 NOV – Laman sosial Facebook membuka jalan bagi pemenang emas pertama temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Nur Jannaton Abdul Jalil dari Perak untuk berjinak-jinak dengan sukan memanah sejak 2018.
Atlet kerdil yang mengungguli acara compound wanita terbuka Para Sukma di padang Turf, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini, berkata segala-galanya bermula pada 2017 apabila beliau mendapat maklumat mengenai sukan memanah daripada sebuah laman komuniti untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Sebenarnya, dari bangku sekolah sehingga ke zaman universiti, saya tidak pernah ada kawan OKU, namun pada satu hari ada seorang kenalan memberitahu saya supaya menyertai kumpulan OKU di Facebook dan dari situ saya nampak ada seseorang mempromosikan sukan memanah.
“Sejak itu, saya pergi ke jamuan makan dianjurkan kumpulan tersebut untuk mengetahui lebih terperinci mengenai sukan memanah dan dari situlah segala-galanya bermula,” katanya kepada pemberita. Graduan bidang fizik perubatan dari Universiti Sains Malaysia berketinggian satu meter itu berkata beliau kemudian mewakili Perak pada 2018 sehingga berjaya membantu negerinya merangkul emas acara compound wanita double di Para Sukma lepas sebelum ditawarkan tempat menyertai program latihan Majlis Sukan Negara, awal 2019.
Pemenang emas Sukan Para ASEAN ke-11 di Solo, Indonesia berusia 27 tahun itu berharap dapat menyertai kelayakan Sukan Paralimpik 2024 di Paris, Perancis pada tahun depan dan layak secara merit ke temasya sukan berprestij tersebut.
Nur Jannaton meraih 637 mata untuk menjuarai acara compound wanita terbuka manakala dua atlet Pulau Pinang melengkapkan kedudukan podium dengan Nazirah Md Noor memenangi perak (590 mata) dan Nor Sa’adah Abdul Wahab pula meraih gangsa (571 mata). – Bernama