Parasailing: Dua didakwa berhubung kematian pelancong

BANGKOK, 13 Julai – Dua lelaki Thailand telah didakwa selepas seorang pelancong Australia terjunam dan mati selepas terjatuh dari payung terjun (parasailing) di pulau pelancong Phuket, tragedi terbaru yang memaparkan rekod keselamatan yang teruk di negara itu.

Orang ramai melihat dengan perasaan gerun semalam tatkala Roger Hussey, 71 tahun, jatuh lebih daripada 100 kaki ke dalam air cetek di pantai Kata selepas tali pengikat yang dipasangkan kepada pengajar payung terjun gagal berfungsi.

Isterinya, warga Thai Budsabong Thongsangka, sedang merakam video pada ketika itu dan memuat naik rakaman tragik dalam Internet.

Polis di Phuket mengesahkan dua lelaki telah didakwa.

“Pemilik bot Montien Jandaeng, 45, dan penolong payung terjun Rungroj Rakcheep, 38, didakwa cuai membawa kepada kematian orang lain,” beritahu Leftenan Suwisit Keereerak, daripada balai polis Karon, kepada AFP hari ini.

“Peralatan tidak memenuhi standard dan pembantu payung terjun gagal memberitahu mangsa supaya memegang tali pada kedudukan yang betul,” tambah beliau, berkata Hussey meninggal dunia di hospital.

Hussey merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sebuah syarikat pelaburan dan berkhidmat sebagai ahli lembaga di badan-badan kerajaan dan komuniti termasuk sebagai timbalan pengerusi Landgate, iaitu penguat kuasa maklumat tanah kerajaan Barat Australia. Dalam satu kenyataan bertulis, Landgate berkata Hussey seorang yang pintar dan bertenaga.

“Beliau berkhidmat dalam komuniti Barat Australia dalam banyak cara – sebagai seorang ahli perniagaan, ahli lembaga dan penyokong pelbagai tujuan komuniti,” menurut kenyataan.

Pelancongan adalah tunggak penting ekonomi Thailand, namun kemalangan yang membabitkan pelancong lazim berlaku di tengah peraturan keselamatan yang longgar.

Rekod keselamatan yang teruk tidak menghalang pelancong, dengan Thailand mengalu-alukan 32 juta pelancong pada tahun 2016, berbanding dengan 14 juta pada 2006. – AP/AFP