Penampilan terbaharu penyanyi Korea Selatan, Park Bom di acara muzik Popstival 2022 yang diadakan di Manila, Filipina menarik perhatian ramai.
Bekas ahli kumpulan 2NE1 ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat ekoran penambahan berat badan Park yang mendadak.
Menerusi sebuah video tular di laman TikTok, peminat gembira melihat penyanyi berkenaan membuat persembahan namun bimbang terhadap tahap kesihatannya.
Memetik laporan Allkpop, sebelum ini seorang YouTuber yang dikenali sebagai Lee Jin Ho memuat naik sebuah video mendakwa Park disahkan menghidap attention deficit disorder (ADD).
Gangguan itu menyebabkan Park tidak dapat mengawal tabiat pemakanannya. YouTuber itu menjelaskan dia bertanya kepada bekas pegawai YG Entertainment dan pihak pengurusannya menjelaskan sukar untuk mengawal Park Bom.
“Apabila Park tertekan, dia akan makan secara berlebihan dan berat badannya dilihat bertambah sejak Julai lalu.
“Ramai bimbang dengan kenaikan berat badannya mungkin kerana dia mengalami tekanan yang hebat,” katanya.
Bagaimanapun, syarikat pengurusannya menjelaskan Park tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan seperti didakwa.
Peningkatan berat badan itu jelasnya disebabkan Park sebelum ini sudah lama tidak aktif dalam bidang seni dan ketika ini dia sedang berusaha mendapatkan kembali bentuk badan ideal.
Terdahulu, Park pernah mendapat perhatian ramai selepas kehilangan berat badan sebanyak 11 kilogram tahun lalu. – Agensi