SEOUL, 19 Julai – Bekas presiden Korea Selatan yang mendapat malu, Park Geun-Hye hari ini sekali lagi enggan memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah ke atas pewaris empayar perniagaan Samsung, dengan alasan tidak sihat.
Buat kali kedua dalam tempoh dua minggu Park telah menolak perintah mahkamah untuk memberikan bukti dalam kes Lee Jae-Yong, naib pengerusi Samsung Electronics.
Lee dituduh dengan kesalahan rasuah, memberi rasuah, sumpah bohong dan kesalahan lain yang berpunca daripada skandal meluas yang menyaksikan Park didakwa dan diberkas. Empat orang lagi eksekutif Samsung juga didakwa.
Park, yang kini berada di pusat tahanan Seoul dan dibicarakan secara berasingan mengadu keletihan dan kecederaan jari kaki yang mengakibatkan berjalan agak tempang.
Peguam-peguam bela berkata jadual perbicaraannya yang sangat sibuk, yang memaksanya muncul di mahkamah empat hari seminggu bagi tempoh sehingga 10 jam – disertai dengan pengurungan ketika cuaca panas dan lembap, telah memberi kesan kepada kesihatannya.
“Kami telah melawat tertuduh di pusat tahanan Seoul pagi ini untuk mendapatkan keterangannya di mahkamah, tetapi dia sekali lagi memberi alasan kesihatan, enggan mematuhi perintah supaya hadir di mahkamah,” seorang pendakwa dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Yonhap.
Hakim kanan Kim Jin-Dong berkata semalam dia merancang untuk menyelesaikan perbicaraan Lee bulan depan. Dia menafikan dakwaan itu.
Pihak pendakwa akan membuat permintaan hukuman mereka pada 4 Ogos dan keputusan berkemungkinan dalam tempoh dua minggu selepas itu, menurut seorang jurucakap mahkamah yang memberitahu AFP.
Skandal rasuah bertumpu pada Choi Soon-Sil, bekas penasihat rapat Park yang dituduh menggunakan hubungan rapatnya dengan presiden untuk memaksa firma-firma tempatan supaya ‘menderma’ hampir AS$70 juta kepada dua buah yayasan yang dicurigai. – AFP