Parlimen Eropah anjur sidang secara maya

BRUSSELS, 15 OKT – Parlimen Eropah akan mengadakan sesi minggu depan menerusi persidangan video sebagai langkah berjaga-jaga terhadap koronavirus, kata presiden hari ini, meskipun permintaan Perancis meminta ia dikembalikan ke Strasbourg.

Berita itu keluar selepas Presiden Perancis Emmanuel Macron mengumumkan perintah berkurung di sembilan bandar untuk membendung peningkatan kes COVID-19, walaupun Strasbourg tidak terjejas.

“Saya berasa kesal untuk mengumumkan sidang pleno minggu depan tidak akan diadakan di Strasbourg, tetapi akan berlangsung secara maya,” tulis David Sassoli, presiden parlimen, di Twitter.

“Situasi di Perancis dan Belgium adalah amat serius. Kunjungan merupakan satu risiko.”

Parlimen Eropah mempunyai dua pangkalan, dengan sebahagian besar kerjanya dijalankan di Brussels selain institusi Kesatuan Eropah lain, dan sesi selama 12 minggu di Strasbourg setiap tahun. Pada bulan lalu, Macron menuntut parlimen kembali ke Strasbourg secepat mungkin, berkata Eropah akan ‘gagal’ sekiranya hanya bertemu di Brussels.

Sejak Mac, apabila pandemik mula meletus di Eropah, parlimen telah bertemu di Brussels, dengan kebanyakan anggota bersidang menerusi pautan video untuk membenarkan penjarakan sosial.

Macron berpeluang menyuarakan pendapatnya kepada Sassoli hari ini apabila mereka bertemu pada sidang kemuncak EU di Brussels. – AFP