BRUSSELS, 21 MEI – Parlimen Kesatuan Eropah (EU), dalam sesi undian semalam, menolak sebarang perjanjian pelaburan dengan China selagi negara itu melaksanakan sekatan terhadap ahli Parlimen EU dan golongan akademik.
EU dalam resolusi itu menuntut China menghapuskan semua sekatan sebagai syarat bagi melaksanakan Perjanjian Komprehensif mengenai Pelaburan.
Dalam pungutan suara yang dijalankan, majoriti ahli Parlimen iaitu 599 menyokong manakala 30 lagi menentang dan 58 berkecuali menolak resolusi itu.
Dalam pada itu, ahli Parlimen EU turut mengingatkan, walaupun China memutuskan untuk menghapuskan sekatan, ia sama sekali tidak memberi jaminan bagi ratifikasi perjanjian. Dalam tindakan yang mengejutkan banyak pihak, EU dan China pada akhir Disember meluluskan perjanjian pelaburan besar, selepas rundingan sukar selama tujuh tahun dengan mendapat sokongan Jerman.
Penyokong perjanjian itu melihat keperluan China membuka semula laluan ekonomi bagi syarikat Eropah selepas sekian lama ditutup, namun pasti sukar mendapat ratifikasi dalam kalangan 27 negara anggota dan ahli Parlimen.
Hubungan dingin EU dan China bertambah buruk selepas kedua-dua pihak saling melakukan sekatan balas berhubung isu kemanusiaan.
“Selagi China terus melaksanakan sekatan, perjanjian ini akan terus dibekukan,” kata ahli Parlimen Belgium, Hilde Vautmans. – AFP



































