Parlimen Korea Selatan ditutup, bimbang penularan virus

SEOUL, 27 OGOS – Parlimen Korea Selatan ditutup hari ini dan sekumpulan penggubal undang-undang telah dikuarantin ketika negara tersebut mencatatkan lebih daripada 400 jangkitan baharu kes COVID-19.

Korea Selatan mengalami salah satu penularan awal COVID-19 terburuk di luar China sebelum berjaya mengawalnya dengan pengesanan dan ujian virus secara meluas, tetapi sekarang memerangi beberapa kluster yang kebanyakannya berkaitan dengan gereja-gereja Protestan.

Sebanyak 441 kes baharu direkodkan hari ini, kebanyakannya berlaku di Seoul dan merupakan kes jangkitan tertinggi hampir enam bulan setelah beberapa minggu dengan jumlah sekitar 30 hingga 40 kes sehari.

Majlis Perhimpunan Nasional ditutup setelah wartawan yang membuat liputan mesyuarat parti pemerintah kelmarin disahkan positif COVID-19. Ia menyebabkan lebih daripada 10 ahli Demokrat tertinggi termasuk ketua parti dan pemimpin parlimennya menjalani ujian virus dan menjalani pengasingan diri.

Selepas perhimpunan tersebut, wartawan itu didapati menemui saudaranya pada hujung minggu yang telah disahkan positif, dan kemudian dia sendiri telah dijangkiti.

Parti pembangkang juga membatalkan mesyuarat yang dijadualkan. – AFP