BANDAR KUWAIT, 8 OKT – Parlimen Kuwait meluluskan pelantikan Sheikh Meshal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah sebagai Putera Mahkota, lapor agensi berita Xinhua, memetik Agensi Berita Kuwait pada hari ini.
“Saya bersumpah dengan nama Allah untuk menghormati perlembagaan dan undang-undang negara, mempertahankan kebebasan, kepentingan dan harta benda rakyat dan menjaga kebebasan dan integriti wilayah serta negara dan taat setia kepada Emir,” kata Sheikh Meshal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah ketika mengangkat sumpah di parlimen.
“Kami mengucapkan tahniah kepada Yang Mulia Sheikh Meshal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah untuk ikrar taat setia sebagai Putera Mahkota,” kata speaker parlimen Marzouq Al-Ghanim pada sidang khas yang diadakan hari ini.
Semasa pertemuan dengan Sheikh Meshal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, Emir Kuwait Sheikh Nawaf Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah menyuarakan keyakinannya dengan kemampuan Sheikh Meshal untuk berkhidmat demi kepentingan negara.
Sehari sebelum itu, Emir menamakan Sheikh Meshal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah sebagai Putera Mahkota, menurut Amiri Diwan.
Menurut perlembagaan Kuwait, Putera Mahkota dilantik oleh Emir dalam tempoh selewat-lewatnya setahun, dari tarikh pelantikan Emir.
Pelantikan itu diluluskan Amiri Diwan selepas pencalonan dibuat oleh Emir dan dipersetujui parlimen dengan undi majoriti. – Bernama