Parlimen mulakan sesi khas bincang tunjuk perasaan

BANGKOK, 26 OKT – Parlimen Thailand memulakan sesi khas hari ini untuk membincangkan tunjuk perasaan yang sedang berlangsung bagi menuntut perubahan politik, termasuk tuntutan supaya perdana menteri berundur.

Dalam ucapan perasmiannya, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berkata protes jalanan antikerajaan yang dipimpin pelajar itu berlangsung di Bangkok dan bandar-bandar lain menimbulkan kebimbangan kerana ia membantutkan usaha pemerintah untuk merangsang ekonomi yang terjejas akibat COVID-19.

“Pemerintah dan pihak berkuasa berkaitan telah berusaha sebaik mungkin untuk menangani tunjuk perasaan termasuk membatalkan ‘Situasi Darurat yang Serius di Bangkok’… Namun, perhimpunan masih berlangsung.

“Sesi khas hari ini adalah untuk mencari jalan keluar bagi mengakhiri ketegangan politik. Ia tidak boleh menimbulkan masalah selanjutnya.

“Kita mesti menerima perubahan tetapi ia perlu dilakukan tanpa kekacauan. Oleh itu, kita perlu mendengar pelbagai pendapat,” katanya. Pada 15 Oktober, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengisytiharkan perintah darurat di Bangkok dalam usaha untuk meng-akhiri jalanan yang sudah berlarutan selama tiga bulan.

Langkah-langkah darurat termasuk melarang perhimpunan lima orang atau lebih, dan penerbitan berita dan mesej dalam talian lain yang boleh mempengaruhi keselamatan negara.

Bagaimanapun, pengumuman itu mendorong tunjuk perasaan setiap hari oleh ribuan penunjuk perasaan antikerajaan di Bangkok dan merebak ke bandar-bandar lain.

Pada Khamis, pemerintah membuat langkah pertama untuk meredakan keadaan dengan membatalkan perintah darurat itu. – Bernama

Penunjuk perasaan pro-demokrasi berarak ke kedutaan Jerman di tengah Bangkok, Thailand, 26 Oktober. Parlimen Thailand mengadakan sesi khas bagi membincangkan ketegangan demonstrasi harian yang menyeru bagi pengunduran Prayut dan reformasi institusi diraja. – AP