ISLAMABAD/NEW DELHI, 4 APRIL – Presiden Pakistan Arif Alvi meminta Imran Khan meneruskan tugasnya sehingga perdana menteri sementara dilantik, memetik kenyataan pejabat presiden hari ini.
Situasi politik negara itu mengalami perubahan dramatik pada Ahad selepas usul undi tidak percaya terhadap kerajaan pimpinan Parti Tehreek-e-Insaf (PTI) Pakistan tidak diluluskan untuk dibahas.
Timbalan Speaker Dewan Negara, Qasim Khan Suri tidak membenarkan usul undi tidak percaya pembangkang terhadap kerajaan Imran, menyifatkan ia satu konspirasi yang disokong pihak asing.
Bertindak atas nasihat perdana menteri, presiden kemudian membubarkan kabinet bagi membolehkan pilihan raya baharu didadakan. Parti pembangkang membantah keputusan Suri.
Shehbaz Sharif, ketua pembangkang dan abang kepada bekas perdana menteri Nawaz Sharif, menuduh Imran mendorong Pakistan “ke dalam sistem anarki”.
Pakatan pembangkang menyokong Shehbaz untuk menggantikan Imran sebagai perdana menteri.
Mahkamah Tinggi Pakistan sedang meneliti perkembangan itu. Imran meminta pihak lawan menerima keputusan pembubaran kerajaan serta mendapatkan mandat menerusi pilihan raya awal. Di atas kertas dan bergantung kepada sebarang keputusan mahkamah, Khan akan terus memimpin bagi sekurang-kurangnya dua minggu atau sehingga sebuah kerajaan sementara dibentuk untuk menyelia pilihan raya.
‘Kejutan Khan cetuskan krisis perlembagaan’ tajuk akhbar The Nation hari ini, manakala saingannya, Dawn menggelarnya ‘Demokrasi Diperolok-olokkan’ di muka depannya.
Khan mendakwa kuasa asing mahukan dia disingkirkan. Dia menegaskan mempunyai bukti namun enggan mendedahkannya. Menurutnya, kuasa Barat mahu menyingkirkannya kerana dia enggan menyokong mereka dalam isu global mengenai Rusia dan China. – Bernama/AFP