Parlimen UK kembali bersidang

LONDON, 21 APRIL – Parlimen Britain kembali bersidang hari ini selepas cuti Easter yang dilanjutkan, dengan ahli parlimen digalakkan hadir menerusi sidang video untuk kali pertama disebabkan wabak koronavirus.

Peraturan penjarakan sosial yang mewajibkan orang kekal dua meter di antara satu sama lain bermakna hanya 50 ahli parlimen yang boleh bersidang di Dewan Rakyat pada satu masa.

Sebaliknya mereka diminta supaya berhubung menerusi Zoom, perkhidmatan persidangan video internet, kali pertama untuk parlimen berusia 700 tahun itu. Skrin akan ditempatkan di sekitar dewan supaya mereka yang hadir secara fizikal, dipisahkan oleh pita dan tanda di bangku hijau, boleh melihat rakan sekerja mereka mendail masuk.

Parlimen memulakan cuti Easter seminggu lebih awal pada bulan lalu disebabkan wabak COVID-19, yang setakat ini telah membunuh lebih daripada 16,500 orang di Britain.

Britain masih dikenakan lockdown, dengan penduduk diminta tinggal dalam rumah, namun ahli parlimen telah menuntut parlimen kembali bersidang seperti yang dirancang hari ini.

“Ketika krisis, kita mesti mencari cara baharu untuk bekerja, sama seperti yang telah kita lakukan sebelum ini,” kata speaker Lindsay Hoyle.

Terdapat had iaitu hanya 120 ahli parlimen yang dibenarkan untuk menyertai persidangan video, dan tidak adanya cara untuk ahli parlimen mengundi secara digital buat masa sekarang. – AFP

Gambar yang dikeluarkan oleh Parlimen UK menunjukkan sesi latihan di dewan sebelum persidangan bermula selepas cuti Easter di London pada 20 April. – AP