LONDON, 10 SEPT – Anggota parlimen Britain (UK)mengundi menolak percubaan kedua kerajaan semalam untuk mengadakan pilihan raya awal, lapor agensi berita Turki Anadolu.
Meskipun kerajaan memenangi usul itu dengan 293 undi menyokong berbanding 46 menentang, ia gagal mencapai keputusan majoriti dua pertiga daripada sejumlah 434 anggota parlimen sebagaimana yang ditetapkan bagi mengadakan satu pilihan raya umum.
Parti Buruh, Parti Demokrat Liberal, Parti Kebangsaan Scotland dan Parti Plaid Cymru telah bergabung untuk menghalang Boris Johnson daripada mengadakan satu pengundian baharu dengan mengundi menentang atau mengambil sikap berkecuali, sekali gus menghadiahkan perdana menteri itu kekalahan keenam beliau pada undian keenamnya dalam tempoh enam hari.
“Saya sebelum ini menggesa dewan agar mempercayai rakyat namun sekali lagi pembangkang fikir mereka mempunyai pandangan yang lebih baik,” kata perdana menteri itu sejurus selepas kekalahannya sambil menambah bahawa ‘mereka mahu perdana menteri Britain mengadakan rundingan penting tanpa kuasa untuk menyelamatkan diri.’
“Mereka ingin menangguhkan Brexit sekali lagi, tanpa rujukan lanjut kepada mereka yang mengundi untuk menyokongnya … dan kini sidang dewan perlu ditangguhkan dan menyambung semula pembukaan rasmi serta titah Baginda Ratu pada 14 Oktober, dan saya berharap pembangkang akan memanfaatkan masa itu untuk muhasabah diri. Sementara itu, kerajaan akan meneruskan langkah untuk merundingkan satu perjanjian,” kata Johnson. – Bernama
