Parmentier tewas di tangan Serena Williams

AUCKLAND, 3 Jan – Serena Williams mengatasi permulaan ‘berkarat’ dan masalah angin bagi aksi kembalinya daripada empat bulan rehat dengan kemenangan 6-3, 6-4 ke atas Pauline Parmentier yang berada di kedudukan ke-69 di Auckland Classic hari ini.

Perlawanan pertamanya sejak dia dikejutkan oleh Karolina Pliskova dalam separuh akhir Terbuka AS pada bulan September lalu, pemain nombor dua dunia itu bermula dengan perlahan musim ini di mana dia mahu merekodkan kejuaraan Grand Slam ke-23.

Dalam pusingan pertamanya, yang ditunda dari Isnin kerana hujan, Williams pada mulanya bergelut apabila Parmentier memecahkan servis pertama Williams.

Pemain berusia 35 tahun itu, menggunakan Auckland sebagai pemanas badan bagi Terbuka Australia, hanya mempunyai 48 peratus kadar kejayaan dengan servis pertamanya dan empat faul berganda kerana dia bergelut menyesuaikan diri dengan angin.

Tetapi Williams semakin membiasakan diri dan mengakhiri dengan kemenangan.

“Setentunya saya merasakan agak kaku, tetapi secara mentalnya saya tahu untuk bangkit kembali,” kata Williams, menambah ia ‘bukan seronok’ bermain dengan angin.

“Malangnya saya mempunyai matlamat tertinggi dan jelasnya itu melibatkan memenangi Grand Slam dan itu sahaja,” kata Williams, yang baru-baru ini mengumumkan pertunangannya dengan pengasas bersama Reddit, Alexis Ohanian.

“Secara asasnya itu yang saya mahu lakukan, tetapi anda perlu memenangi kejohanan-kejohanan seperti ini, atau bermain dengan baik, untuk memenangi Grand Slam, jadi kejohanan seperti ini diambil kira.” – AFP