Parti Merkel tunda kongres, pilih pemimpin baharu

BERLIN, 26 OKT – Parti CDU pimpinan Canselor Jerman Angela Merkel berkata hari ini ia akan menangguhkan kongres yang dirancang diadakan pada awal Disember untuk memilih pemimpin baharu disebabkan peningkatan dalam jangkitan koronavirus.

Pegawai kanan parti konservatif itu akan mengkaji semula situasi pada pertengahan Disember untuk menentukan langkah seterusnya, kata setiausaha agung Paul Ziemiak.

“Berdasarkan situasi sekarang, satu kongres dengan hadirin pada 4 Disember tidak dibenarkan,” kata Ziemiak.

CDU berharap akan mengadakan kongres secara fizikal pada tarikh kemudian dan bukannya sidang video namun mengakui format dalam talian mungkin menjadi satu-satunya pilihan sekiranya pandemik gagal dikawal.

Anak didik Merkel Annegret Kramp-Karrenbauer mengambil alih sebagai ketua parti Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) pada 2018, selepas canselor veteran itu berkata beliau tidak akan bertanding untuk mandat baharu pada pilihan raya umum tahun depan.

Namun perlumbaan untuk jawatan teratas parti terbuka luas apabila Kramp-Karrenbauer meletak jawatan hanya selepas beberapa bulan disebabkan pengendaliannya dalam skandal pilihan raya serantau.

Calon yang terpilih akan memegang jawatan canselor dan menduduki tempat teratas untuk mengganti Merkel jika blok konservatif memenangi pilihan raya tahun depan. – AFP