BELGRADE, SERBIA, 7 OKT – Keputusan awal pilihan raya parlimen Kosovo menyaksikan parti pembangkang Albania, Vetevendosje mendahului dengan 26 peratus undi, lapor agensi berita Anadolu.
Sementara itu, keputusan rasmi berdasarkan 80 peratus kertas undi yang telah dikira pada hari ini, parti Liga Demokratik Kosovo (LDK) berada di belakang dengan 25 peratus undi.
Jika gabungan LDK berjaya merapatkan jurang, pemimpinnya Vjosa Osmani akan menjadi perdana menteri wanita yang pertama Kosovo. Parti Demokratik Kosovo (PDK) di kedudukan ketiga dengan 21.15 peratus, sementara parti diketuai bekas Perdana Menteri Ramush Haradinaj memperoleh 11.6 peratus.
Penyokong Vetevendosje berkumpul di Dataran Skenderbeg di Pristina untuk meraikan kejayaan itu.
Kemenangan itu menjadikan parti itu berkuasa buat kali pertama.
Pemimpin PDK Kadri Veseli secara terbuka menerima kekalahan partinya dan menghormati pilihan rakyat. “PDK akan menjadi pembangkang, tetapi kami akan terus berkhidmat kepada rakyat dan negara,” katanya. – Bernama
