TOKYO, 28 Sept – Parti pembangkang utama Jepun hari ini membuat keputusan untuk tidak menyediakan calon dalam pilihan raya akan datang, sebaliknya bersatu dengan parti baru yang ditubuhkan oleh gabenor Tokyo yang terkenal Yuriko Koike dalam bidaan untuk menggulingkan Perdana Menteri Shinzo Abe.
Langkah itu memberikan kejutan terhadap babak politik Jepun, beberapa hari selepas membuat keputusan untuk mengadakan satu pilihan raya mengejut, penubuhan “Parti Harapan” milik Koike yang dinamik dan penyatuan berkesan pembangkang kepada kerajaan konservatif Abe.
Parti Demokrati (DP) meluluskan cadangan pemimpinnya Seiji Maehara untuk tidak menyediakan calon-calon dalam pilihan raya pada 22 Oktober depan. Ahli-ahli sebaliknya perlu memohon untuk mewakili kumpulan baru Koike, kata Maehara.
“Kita perlu hentikan kerajaan Abe dan mencapai satu perubahan dalam pentadbiran,” kata Maehara, seorang ahli politik veteran dan bekas menteri luar Jepun.
Maehara berkata dia akan kekal sebagai ketua DP namun keputusan hari ini itu secara efektif menandakan berakhirnya parti tersebut, yang telah tenggelam dalam penilaian sokongan lemah.
“Walau baik mana produk itu, ia tidak ada gunanya jika ia tidak boleh mencari pembeli,” dia memberitahu para wartawan.
Parti Demokratik dan sekutu-sekutunya hanya memegang kurang daripada 90 kerusi dalam dewan rendah parlimen, kurang daripada satu pertiga daripada 287 kerusi yang diperoleh oleh Parti Demokratik Liberal milik Abe.
Ia adalah jauh berbeza berbanding ketika DP mengambil tampuk kuasa dalam tahun 2009, menggulingkan parti LDP yang begitu dominan.
Namun pemerintahan DP dalam kerajaan sangat singkat dan dikeluarkan dari kuasa pada lewat tahun 2012 oleh kebangkitan semula LDP pimpinan Abe.
Parti itu juga mendapat cemuhan mengenai bagaimana ia mengendalikan bencana nuklear Fukushima yang disebabkan tsunami dalam tahun 2011.
Menurut kedudukan dalam harian niaga Nikkei kurang dari seminggu lalu, 44 peratus penduduk Jepun merancang untuk mengundi bagi LDP, sementara hanya lapan peratus kepada pihak pembangkang utama.
Namun kemunculan Parti Harapan Koike telah mengubah landskap politik dan kedudukan terbaru menunjukkan pendahuluan Abe telah berkurang secara dramatik. – AFP