KUALA LUMPUR, 17 OGOS – Pemimpin parti politik negara hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bagi proses menentukan calon Perdana Menteri baharu seterusnya membentuk kerajaan susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
Sesi itu, yang bermula 2 petang dan selesai kira-kira dua jam kemudian, menyaksikan kehadiran Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Turut dipanggil menghadap, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal manakala semua presiden parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghadiri sesi itu secara maya.
Selepas sesi itu, Anwar, Muhkriz dan Tuan Ibrahim berkongsi dengan petugas media bahawa Al-Sultan Abdullah meminta satu permuafakatan dibentuk antara parti dengan mengutamakan usaha menangani COVID-19 serta memulihkan ekonomi negara.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dalam satu notis meminta Ahli Dewan Rakyat menyerahkan akuan bersumpah (SD) memilih calon Perdana Menteri kesembilan.
Akuan itu perlu diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya esok sebelum 4 petang, atau ia tidak akan diambil kira.
Beberapa pemimpin berkata parti masing-masing telah mengadakan perbincangan bagi memuktamadkan pemilihan seorang Ahli Dewan Rakyat yang memiliki majoriti sebagai calon Perdana Menteri.
Mukhriz berkata Pejuang akan memuktamadkan perkara itu esok manakala menurut Tuan Ibrahim, PAS sudah siap sedia dengan SD semua Ahli Parlimen parti itu untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong.
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam satu kenyataan memaklumkan parti itu menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Muhyiddin sebagai presiden untuk membuat keputusan akhir yang akan diumumkan apabila tiba masanya.
Difahamkan UMNO pula akan memutuskan calon Perdana Menteri dalam mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) malam ini, yang akan disusuli dengan mesyuarat bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional. – Bernama































