Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Parut di wajah simbol pertalian suku, daya tarikan

    OM MAGHAD, SUDAN – Kholoud Massaed dari suku Hadaria di Sudan, mengimbas kembali waktu di mana wajahnya dikelar dengan pisau yang tajam, iaitu satu amalan kuno yang pernah menjadi satu kebiasaan.

    Kini berusia dalam lingkungan 80an, kesan parut masih jelas kelihatan pada setiap pipinya dengan tiga garisan luka yang telah menjadi gelap dari semasa ke semasa.

    “Mereka membawa saya kepada seorang lelaki yang dikenali melakukan amalan ini. Dia melakukannya dengan pisau kecil,” kata Massaed kepada AFP di kampungnya di Om Maghad, kira-kira 66 kilometer di selatan Khartoum.

    “Ketika itu saya berumur tujuh tahun dan saya menangis kerana ketakutan. Mereka memberitahu saya harus mempunyai tanda muka ini kerana ia adalah tanda kecantikan.”

    Parut yang merupakan amalan kuno yang biasa dilakukan di Sudan, melibatkan penandaan kulit, terutamanya untuk mengenal pasti pertalian suku atau sebagai simbol daya tarikan.

    Kholoud Massaed menunjukkan parut di mukanya, ketika ditemui di perkampungan Om Maghad, selatan Khartoum. – AFP
    Bagi lelaki, tanda ini selalunya berbeza-beza daripada garis menegak atau mendatar kecil pada pipi dengan bentuk yang menyerupai huruf T atau H. – AFP

    Ia juga diamalkan di Sudan, di mana menurut Kumpulan Hak Minoriti kira-kira 30 peratus penduduk dipercayai milik minoriti Afrika, manakala selebihnya adalah orang Arab Sudan.

    Amalan ini telah berkurangan sejak beberapa tahun, dengan ramai yang kini melihatnya sebagai tidak bersih, kuno dan lapuk.

    “Orang ramai pernah berebut untuk melakukannya. Ia mempunyai nilai yang besar pada masa lalu,” kata Massaed.

    Untuk masa yang lama, dia bergelut untuk menerima parutnya, dan kini dia bersyukur kerana amalan itu telah pupus. Apabila anak-anaknya dewasa, Massaed enggan membiarkan mereka menanggung penderitaan yang sama.

    “Saya tidak membenarkan mana-mana anak saya untuk melakukan amalan itu,” katanya.

    “Sekarang sudah berbeza.

    “Hanya orang tua yang masih menanggung tanda ini, bukan generasi muda,” ujarnya lagi.

    Seperti Massaed, Fatma Ahmed dari suku Ja’aileen mempunyai garis yang sama di wajahnya.

    “Kesakitan berlarutan selama berminggu-minggu,” katanya sambil menambah bahawa dia menggunakan banyak salap penyembuhan tradisional untuk meringankan penderitaannya.

    Komuniti di kawasan pedalaman terpencil di Sudan telah lama bergelut untuk mendapatkan penjagaan kesihatan yang sewajarnya kerana kemudahan dan infrastruktur yang lemah.

    Ramai lelaki juga ditanda seumur hidup. Bagi lelaki, tanda selalunya berbeza-beza yang terdiri daripada garis menegak atau mendatar kecil pada pipi dengan bentuk yang menyerupai huruf T atau H, menurut Babiker Mohammed dari suku Mahas.

    “Ia bukan satu pilihan ketika itu. Ia tidak dapat dielakkan,” kata lelaki berusia 72 tahun itu.

    “Orang ramai hanya membawa kanak-kanak kepada orang yang dikenali untuk menanda muka, dan dia akan menanda muka mengikut nama suku mereka,” katanya.

    Mohammed berkata dia juga enggan anak-anaknya untuk melakukannya.

    “Saya mungkin dari generasi terakhir yang muka ditanda,” katanya.

    Idris Moussa Abdelrahman yang berasal dari suku Ja’aileen berharap amalan itu tidak kembali.

    “Ia adalah satu menyeleweng dan membahayakan orang ramai tanpa sebab.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...