Wednesday, February 19, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Parut jerawat cetus penderitaan emosi jangka panjang

    JANGKITAN jerawat bernanah atau akne adalah masalah kulit kronik yang paling kerap dialami oleh golongan remaja dan dewasa. Malah, dianggarkan lebih 85 peratus remaja dan dewasa berusia 12 hingga 25 tahun di seluruh dunia mendapat akne.

    Malangnya, penjagaan kulit yang terdedah dengan akne ini sering diabaikan hingga mengundang masalah parut. Parut akibat akne yang jelas kelihatan terutama pada wajah dan leher lazimnya akan menjejaskan keyakinan diri seseorang dan menyebabkan perasaan malu serta tidak selesa untuk berdepan orang ramai.

    Akne terjadi disebabkan oleh pelbagai faktor dan keputusan kajian berkenaan mendedahkan faktor utama yang menyumbang kepada masalah kulit terbabit adalah tekanan iaitu sebanyak 32 peratus.

    Faktor lain yang menyumbang kepada akne adalah perubahan tahap hormon (31 peratus), keletihan, tidur tidak menentu dan kurang bertenaga (30 peratus), keturunan (lima peratus) dan tiga peratus lagi disebabkan oleh pengambilan ubat tertentu.

    Kulit setiap orang berbeza mengikut genetik dan disebabkan itu seseorang mengalami masalah kulit berparut akibat akne memerlukan lebih daripada satu kaedah rawatan untuk mencegahnya.

    Bentuk parut akne atau jerawat akan menjejaskan penampilan dan keyakinan diri seseorang individu.
    Bentuk parut akne atau jerawat akan menjejaskan penampilan dan keyakinan diri seseorang individu.

    Namun tidak semua individu yang mengalami akne berdepan masalah parut kerana ada yang pulih tanpa meninggalkan sebarang tanda atau kesan pada kulit mereka. Sebaliknya, mereka yang mendapat parut akibat akne terutama parut yang ketara dan jelik boleh mengalami penderitaan emosi dalam jangka panjang.

    Bagi merawat masalah parut disebabkan akne, penting untuk kita mengetahui bagaimana parut akne terbentuk berikutan ia boleh muncul dalam pelbagai saiz dan jenis.

    Lazimnya mereka yang mengalami akne hanya mencari jalan untuk merawat masalah kulit itu dan mencegahnya tanpa memikirkan komplikasi lain akibat akne seperti parut atau tanda bekas akne.

    Setiap parut mempunyai ciri-ciri berbeza dan cara mencegah serta merawatnya juga berlainan. Namun, perlu difahami bagaimana parut bekas akne terbentuk dan mengenali jenis parut bagi memudahkan jenis rawatan dilakukan.

    Parut akibat akne berlainan daripada tanda bekas jerawat. Ini kerana, parut bekas akne mengubah tekstur kulit muka asal, manakala tanda bekas jerawat pula ialah kesan yang tidak mengubah tekstur kulit asal tetapi mengubah tona warna akibat proses pigmentasi semula jadi.

    Jangkitan akne boleh meresap jauh ke dalam kulit dan merosakkan lapisan dermis kulit iaitu tisu di bawah lapisan kulit. Apabila jangkitan terkawal, kulit akan menghasilkan kolagen dan tisu elastik untuk memulihkan kerosakan terbabit.

    Kawalan kerosakan ini menghasilkan tisu kulit baru dan tidak sama seperti yang asal. Parut yang terbentuk bergantung kepada penghasilan kolagen sama ada berlebihan atau berkurangan.

    Parut akne disebabkan akne yang teruk, walaupun tanda selepas akne ringan boleh hilang sendiri berikutan tidak menyebabkan perubahan tekstur kulit, tetapi bagi tanda gelap dan parut bekas akne yang sederhana dan teruk biasanya perlu dirawat.

    Malah, parut-parut yang terbentuk juga berlainan saiz dan bentuk serta biasanya terjadi pada waktu yang sama. Oleh itu, langkah pertama dalam rawatan parut bekas akne adalah mengenal pasti jenis parut kerana setiap jenis parut menggunakan kaedah berlainan.

    Penting memilih rawatan sesuai dengan masalah parut bagi mendapatkan hasil pemulihan optimum kerana rawatan salah hanya membazirkan masa dan wang anda.

    Masalah kulit ini biasa dialami, tetapi kebanyakan mereka tidak memahami tanpa penjagaan dan rawatan kulit yang wajar, akne berpotensi menyebabkan tanda gelap dan lebih buruk lagi meninggalkan parut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda