Pas kesihatan Perancis dilanjut hingga Julai 2022

PARIS, 5 NOV – Parlimen Perancis hari ini mengundi membenarkan kerajaan menggunakan pas kesihatan untuk memerangi COVID-19 dilanjutkan sehingga 31 Julai 2022, selepas pilihan raya dijadual diadakan pada April.

Diperkenalkan pada Ogos, pas itu diperlukan untuk mengambil bahagian dalam rutin kehidupan di Perancis se-perti meminum kopi dalam kafe, mengunjungi muzium atau menaiki kereta api. Pas kesihatan dihasilkan dalam kod QR sama ada vaksinasi lengkap, ujian virus negatif atau sembuh daripada COVID-19. Sistem itu adalah salah satu paling ketat di Eropah, namun bantahan mingguan telah berkurangan sejak ia dilancarkan.

Parlimen meluluskan cadangan dengan undi 118 berbanding 89 dengan sokongan daripada majoriti yang dikawal oleh Presiden Emmanuel Macron, menghapus bantahan daripada Senat yang dikawal oleh golongan fahaman kanan. Pembangkang menuduh kerajaan berusaha mengalih isu selepas pilihan raya presiden di mana Macron dijangka dipilih semula tetapi kerajaan menegaskan ia diperlukan pada masa apabila WHO mengeluarkan amaran mengenai gelombang baharu di Eropah.

Dasar itu dilihat oleh penganalisis satu kejayaan untuk Macron, menggalak penduduk yang teragak-agak mengenai suntikan vaksin supaya menerimanya dan menurunkan kadar jangkitan. –AFP

Gambar fail menunjukkan telefon bimbit dengan sijil COVID Digital EU dipamer di skrinnya. Parlimen Perancis membenarkan pas kesihatan dilanjutkan sehingga Julai 2022 seperti yang diumumkan kelmarin. – AFP