Pas vaksin, SOP tertentu kunci pembukaan semula

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Bagi perancangan pembukaan semula ekonomi negara setelah mencapai 70 peratus vaksinasi lengkap dua dos, ia akan dilaksanakan secara berperingkat dengan pas vaksin dan prosedur operasi standard (SOP) tertentu antara yang akan memainkan peranan penting.

Setakat ini, Negara Brunei Darussalam telah pun mencapai 61.9 peratus vaksinasi dan perancangan awal sebelum ini adalah untuk membuka semula masjid bila ia menjangkau 70 peratus dua dos vaksin selain pembukaan kedai-kedai lain secara berperingkat.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan mengenai perkara itu ketika menjawab soalan mengenai pelonggaran yang telah pun disaksikan di negara-negara lain bagi yang sudah lengkap dua dos vaksin, pada sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya, pembukaan semula secara berperingkat berdasarkan SOP tertentu akan dilaksanakan.

“Apa yang perlu ditekankan, kita akan menggunakan pas vaksin dalam BruHealth atau buku vaksinasi bagi membenarkan mereka yang bervaksin sahaja mengunjungi mana-mana kedai atau restoran dan sebagainya,” tambahnya.

Yang Berhormat Dato turut mengingatkan majikan agar memastikan pekerja mereka mempunyai dua dos vaksin, barulah mereka dapat membuka perniagaan mereka.

Selain itu, perkara lain sebelum ini, seperti kod BruHealth dibenarkan, pemeriksaan suhu badan dan membuat penjarakan fizikal juga akan diteruskan.

“Pihak kerajaan merasakan apabila sudah 70 peratus, ia boleh dibuka secara berperingkat dan bila 80 peratus sudah menjangkau endemik di mana kita akan melalui kehidupan norma baharu dengan menerima COVID-19 sebagai sebahagian daripada kehidupan kita,” jelasnya.

Warga emas ketika menerima suntikan vaksin pada Program Vaksinasi Bergerak di Sungai Liang. Pembukaan semula ekonomi negara bergantung terhadap pencapaian 70 peratus vaksinasi negara, dengan pas vaksin dan SOP dijangka memainkan peranan penting, menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan. – Gambar oleh Daniel Lim
Sijil vaksinasi boleh dimuat turun menerusi aplikasi BruHealth.