Pasang cermin di kaunter elak jangkitan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Sebagai usaha bersama dalam menangani penularan wabak COVID-19, kompleks-kompleks membeli-belah, gedung perniagaan, pasar raya dan kedai runcit telah mengambil langkah-langkah pencegahan yang disarankan.

Ini termasuk menjalankan pemeriksaan suhu badan, menyediakan cecair pembasmi kuman dan menandakan kawasan penjarakan menggunakan pita pelekat di lantai.

Salah sebuah kedai di Delima Satu, Sifana Sdn Bhd dalam melaksanakan penjarakan sosial dan menyokong usaha Kementerian Kesihatan, turut memasang cermin di kawasan kaunter pembayaran untuk mengelakkan jangkitan.

“Kami tidak tahu tahap kesihatan pelanggan, dengan memasang cermin sekeliling kaunter pembayaran, sedikit sebanyak dapat meningkatkan lagi keselamatan kakitangan kedai dan juga orang ramai agar kami dapat bekerja dengan selamat dan selesa semasa penularan wabak COVID-19 ini,” ujar wakil kedai berkenaan.

Kedai berkenaan juga memasang tanda penjarakan untuk pelanggan, kerana ia adalah penting bagi mengekalkan jarak jauh seseorang individu sekurang-kurangnya satu meter daripada individu lain semasa beratur hendak membuat pembayaran atau berurusan di kaunter-kaunter.

Sebilangan pondok jualan kuih-muih di Kampung Burung Pingai Berakas juga menandakan penjarakan sosial dan ini setentunya dapat mengekalkan jarak fizikal antara setiap pelanggan yang datang.

Justeru, diingatkan kepada semua untuk sentiasa mengamalkan penjarakan sosial antara satu sama lain di mana pun berada terutama tempat-tempat  yang sentiasa dikunjungi ramai.
Langkah berjaga-jaga juga termasuk mengamalkan kebersihan diri, kerap mencuci tangan atau menggunakan hand sanitizer, memakai penutup mulut dan hidung serta sebagainya agar terhindar daripada jangkitan COVID-19.

Cermin keselamatan yang dipasang di kaunter pembayaran salah sebuah kedai di Delima Satu bagi melindungi kakitangan dan pelanggan daripada wabak COVID-19.