Pasang niat sertai kejohanan di Eropah

KUALA LUMPUR, 26 FEB – Setelah lebih setahun tanpa aksi kompetitif di peringkat antarabangsa, atlet lompat kijang Malaysia, Muhammad Hakimi Ismail memasang impian menamatkan kemarau itu dengan menyertai kejohanan di Eropah selepas sambutan Aidilfitri pada Mei depan.

Muhammad Hakimi yang kali terakhir beraksi di peringkat antarabangsa pada Sukan SEA 2019 di Filipina berkata kejohanan di Eropah itu akan digunakan sebaik mungkin dalam usaha menempah slot ke Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual pada Julai ini.

“Jika tiada aral melintang dan dapat lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), saya harap dapat sertai kejohanan di Eropah nanti selain meneruskan latihan di sana.

“Ini kerana, suasana di Eropah seperti di Jerman sangat bagus dan saya percaya dapat membantu tingkatkan prestasi seterusnya meningkatkan peluang layak ke Olimpik 2020,” katanya kepada Bernama. – Bernama