Pasangan diraja Sweden jalani pengasingan kendiri

STOCKHOLM, 26 NOV – Putera Carl Philip dan isteri, Puteri Sofia dari Sweden sedang menjalani pengasingan kendiri selepas diuji positif dijangkiti koronavirus baharu, kata istana diraja hari ini.

Carl Philip, 41, anak lelaki Raja Carl XVI dan Permaisuri Silvia, dan Sofia, 35, ‘mengalami gejala selesema’ dan sedang berehat di rumah di Stockholm bersama anak mereka, kata istana dalam satu kenyataan. Raja dan permaisuri serta Puteri Mahkota Victoria dan suaminya Putera Daniel, semuanya akan diuji sebagai langkah berjaga-jaga, katanya.

Menurut tabloid Aftonbladet, keluarga diraja itu berkumpul untuk upacara pengebumian abang permaisuri pada minggu lalu, tetapi mereka semua diuji negatif koronavirus sebelum menghadiri upacara itu. Puteri Sofia menjadi tajuk berita sebelum ini apabila beliau menjalankan tugas syif sebagai pembantu penjagaan kesihatan di hospital Sophiahemmet di Stockholm, yang dilakukannya secara sambilan.

Sweden terkenal dengan pendekatan yang lebih longgar terhadap pandemik koronavirus, tidak pernah mengenakan sekatan berbanding negara lain. Sehingga semalam, negara itu mencatat 230,514 kes COVID-19 dan 6,555 kematian. – AFP

Gambar fail menunjukkan Puteri Sofia dan Putera Carl Philip tiba untuk majlis kesyukuran Te Deum di Royal Chapel semasa perayaan ulang tahun ke-70 Raja Carl XVI Gustaf di Stockholm. – AFP