Pasangan Indonesia lari selepas positif COVID-19 berjaya dikesan

KUCHING, 19 JUN – Dua warganegara Indonesia yang dilapor melarikan diri selepas didapati positif COVID-19 semalam berjaya dikesan lewat malam tadi dan telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak di sini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata kedua-dua individu itu yang merupakan pasangan suami isteri ditemui di sebuah kawasan perumahan baharu di tepi Jalan Matang Baru kira-kira pukul 11:15 malam.

“Kedua-duanya telah dibawa oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan) ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan dan rawatan susulan,” katanya dalam satu mesej WhatsApp kepada media hari ini.

Semalam, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menyatakan kedua-dua warga asing berkenaan melarikan diri selepas menjalani ujian saringan COVID-19 sebagai syarat untuk memohon permit kerja mereka di sini.

Kehilangan mereka disedari pasukan Kementerian Kesihatan semasa menjalankan langkah susulan untuk mengesan kontak rapat dan mencari punca jangkitan. – Bernama