Pasangan IS cuba bunuh menteri, dipenjarakan

JAKARTA, 25 JUN – Pasangan Indonesia dikaitkan dengan kumpulan Islamic State (IS) yang cuba membunuh menteri keselamatan, dijatuhkan hukuman penjara hari ini.

Mahkamah Jakarta menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada Syahrial Alamsyah, 51 dan sembilan tahun kepada isterinya, Fitria Diana, 21, selepas sabit tuduhan pengganasan kerana cuba membunuh menteri keselamatan ketika itu, Wiranto, pada Oktober tahun lalu.

Hukuman itu lebih ringan berbanding yang diminta pendakwa raya selama 16 dan 12 tahun masing-masingnya.

Namun mahkamah menolak rayuan pasangan itu yang mengatakan mereka melakukannya bermotifkan sentimen antikerajaan, menegaskan bahawa Alamsyah merupakan ahli sebuah kumpulan ekstremis tempatan yang bersekutu dengan IS.

“Kami memutuskan bahawa defendan bersalah atas pertuduhan pengganasan bersama isterinya,” kata hakim, Masrizal, memberitahu Mahkamah Daerah Jakarta Barat.

Defendan ketiga juga dihukum penjara lima tahun atas tuduhan pengganasan berkaitan dengan serangan berasingan dirancang Alamsyah tahun lalu.

Perbicaraan diadakan secara persidangan video kerana kebimbangan koronavirus dengan peguam dan hakim memakai penutup mulut dan hidung manakala defendan mendengar melalui pautan video. – AFP

Seorang hakim (kiri) menghadiri perbicaraan yang diadakan melalui sidang video kerana kebimbangan COVID-19, bagi pasangan dikaitkan dengan kumpulan ekstremis yang cuba menikam menteri keselamatan, 25 Jun. Pasangan itu dijatuhkan hukuman penjara 12 dan sembilan tahun masing-masing atas tuduhan itu. – AFP