Thursday, January 23, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasangan kekasih curi tabung derma ditangkap

    MELAKA, 11 DIS – Kelicikan sepasang kekasih yang dipercayai aktif mencuri tabung derma diletakkan di kedai-kedai makan, akhirnya tumpas selepas ditahan polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Klebang, Melaka pada 4 Disember lalu.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit berkata suspek lelaki berusia 33 tahun dan wanita 35 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah malam oleh sepasukan anggota polis hasil risikan dan maklumat orang awam.

    “Siasatan awal mendapati kesemua tabung derma dicuri mereka adalah milik madrasah dan rumah anak yatim yang diletakkan di kedai-kedai makan di sekitar Melaka dan Johor.

    “Modus operandi mereka adalah dengan pergi ke warung dan kedai makan lalu berpura-pura sebagai wakil madrasah, pondok, atau rumah anak yatim untuk mengambil tabung derma,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

    Christopher berkata pasangan itu dipercayai giat melakukan jenayah tersebut sejak dua tahun lalu dan mula aktif di Melaka sekitar dua bulan kebelakangan ini, dengan anggaran pendapatan sekitar RM250 sehari hasil daripada kegiatan tersebut

    Dalam serbuan tersebut, polis menemukan sebanyak 54 tabung derma, sebuah kereta, dan pemotong besi.

    “Turut ditemukan satu peket plastik lut sinar mengandungi ketulan mampat dedaun hijau disyaki dadah jenis ganja seberat  kira-kira lapan gram.

    Beliau berkata hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan narkotik dan pasangan itu direman selama tujuh hari dan akan disambung reman esok untuk siasatan lanjut. – Bernama

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda