THE HAGUE, NETHERLANDS, 29 NOV – Polis tentera Belanda menangkap sepasang suami isteri kelmarin kerana lari dari sebuah hotel tempat mereka dikuarantin selepas diuji positif COVID-19 dan menaiki sebuah pesawat.
Media tempatan melaporkan pasangan itu berhasrat untuk pulang ke Sepanyol.
Seorang jurucakap wanita bagi pihak berkuasa keselamatan tempatan yang berada di Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam berkata hari ini bahawa satu siasatan masih dijalankan sama ada pasangan itu telah melakukan jenayah dan harus didakwa.
“Kuarantin tidak diwajibkan, namun kami menganggap semua orang akan bertindak bertanggungjawab,” kata jurucakap Petra Faber. “Tetapi terdapat pasangan yang hendak pulang dan mereka cuba untuk menaiki pesawat. Royal Marechaussee telah membawa mereka turun daripada pesawat itu dan menyerahkannya semula kepada pihak berkuasa kesihatan tempatan,” katanya.
Sementara itu, menurut AFP yang memetik jurucakap kesihatan awam, Stefanie van Waardenburg, salah seorang daripada pasangan itu telah diuji positif dan telah diasingkan, manakala seorang lagi negatif tetapi dalam kuarantin.
Beliau menambah kedua-duanya kembali menjalani pengasingan, tetapi tidak di hotel yang sama.
Mereka adalah lelaki Sepanyol, 30 dan seorang wanita Portugis, berusia 28 tahun, kata jurucakap polis, Stan Verberkt kepada AFP.
Drama itu berlaku selepas pihak berkuasa Belanda menyatakan 61 orang yang tiba dengan dua penerbangan di Lapangan Terbang Schiphol Jumaat lalu telah diuji positif, 13 daripadanya dijangkiti varian baharu Omicron. – AP/AFP
