Pasangan Pakistan bunuh amah berusia tujuh tahun

RAWALPINDI, PAKISTAN, 4 JUN – Pasangan Pakistan telah ditangkap kerana dipercayai membunuh pembantu rumah (amah) berusia tujuh tahun selepas dia disalahkan kerana membiarkan seekor burung peliharaan mereka terlepas, kata polis, dalam kes terbaharu keganasan ke atas pekerja domestik kanak-kanak di negara itu.

Hassan Siddiqui dan isterinya menggaji Zohra Bibi di rumah mereka kawasan sub bandar kelas pertengahan Rawalpindi, dekat bandar Islamabad, untuk menjaga anak lelaki mereka yang juga seusianya.

“Budak perempuan itu telah diseksa oleh Siddiqui dan isterinya yang telah menuduhnya melepaskan salah seekor dari empat burung nuri Macao,” kata pegawai penyiasat, Mukhtar Ahmad memberitahu AFP hari ini.

“Siddiqui menendangnya di bahagian abdomen yang mengakibatkan kematian.”

Kira-kira 8.5 juta orang – termasuk ramai kanak-kanak – digaji sebagai pekerja domestik di Pakistan, menurut Persatuan Buruh Antarabangsa.

Walaupun secara teorinya ia adalah tidak sah untuk menggaji pekerja di bawah umur 15 tahun, namun ia masih lagi diamalkan.

Zohra telah dibawa ke hospital oleh pasangan itu pada Ahad, namun meninggal dunia pada keesokan harinya. Insiden itu telah dilaporkan kepada polis oleh kakitangan hospital. – AFP