Pasangan suami isteri sesat ditemui selamat

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Satu lagi kejadian sesat dalam hutan telah dilaporkan berlaku yang melibatkan pasangan suami isteri di Bukit Sipatir baru-baru ini.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), pada pukul 7:09 malam, seramai 11 orang anggota dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan (BSB) dan Unit Skuad Khas yang diketuai oleh ABK 89 Mohd Amin dan DSO Majid telah dikejarkan ke Bukit Sipatir bagi mencari dan menyelamat pasangan berkenaan pada 17 November lalu.

Sebaik tiba, penyiasatan dijalankan di sekitar kawasan hutan berkenaan dan operasi pencarian segera dilakukan melalui maklumat yang telah diberikan oleh mangsa.

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa pada pukul 8 malam, anggota bomba dan penyelamat Balai Bomba BSB bersama Skuad Khas telah menjumpai pasangan suami isteri berkenaan di mana mereka ditemui dalam keadaan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sehubungan itu, JBP terus menyarankan orang ramai supaya sentiasa memastikan bahawa mereka tahu akan keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan tidak meneruskan aktiviti jika keadaan sudah mulai gelap.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya jangan mendaki bukit secara berseorangan kerana ditakuti berlakunya perkara yang tidak diingini.

Mereka juga disarankan untuk memaklumkan kepada ahli keluarga atau kawan-kawan di mana tempat yang hendak mereka tujui serta bagi keselamatan mereka semasa melakukan riadah hiking bawa bersama wisel, lampu, telefon bimbit dan air bagi keperluan jika berlaku kecemasan.

Pasangan suami isteri yang sesat di hutan Bukit Sipatir berjaya dijumpai dan dibawa keluar dengan selamat oleh anggota JBP.
Anggota bomba dan penyelamat ketika melakukan misi mencari pasangan suami isteri di Bukit Sipatir.