Pasangan warga Israel dituduh mengintip di Turki dibebaskan

BAITULMAQDIS, 18 NOV – Pasangan warga Israel ditahan di Turki selama seminggu kerana disyaki menjalankan pengintipan telah dibebaskan hari ini, kata kerajaan Israel.

Mordi dan Natali Oknin ditahan minggu lalu selepas melawat Menara Camlica yang baru dibuka – di bangunan tertinggi Istanbul.

Sebuah mahkamah di bandar itu mendakwa mereka dengan kesalahan ‘pengintipan politik dan tentera’ kerana dipercayai mengambil gambar rumah Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, lapor agensi berita negeri Turki, Anadolu.

Pasangan Oknin menafikan tuduhan itu, sementara Menteri Luar Negeri Israel, Yair Lapid menegaskan pasangan itu bukan kakitangan mana-mana agensi perisikan.

“Selepas usaha bersama dengan Turki, Mordi dan Natali Oknin telah dibebaskan dari penjara dan dalam perjalanan mereka ke Israel,” kata pejabat Perdana Menteri Naftali Bennett dalam satu kenyataan.

Kaum keluarga dan penyokong mengalu-alukan pasangan itu ketika mereka tiba di bandar Modiin, tengah Israel, rakaman yang disiarkan dalam televisyen. – AFP