Tuesday, August 9, 2022
26.8 C
Brunei

Pasar barang terpakai berkembang di Afghanistan

-

KABUL – “Semakin ramai warga Afghanistan mengunjungi pasar khusus untuk barangan terpakai. Sebilangannya cuba menjual barang untuk membeli keperluan sementara sebilangan lagi berusaha mencari barangan murah yang mereka mampu miliki,” jelas pemilik kedai Sayyed Khalid kepada Xinhua.

Sejak pengambilalihan Taliban di negara itu pada pertengahan Ogos, kemiskinan dan pengangguran yang semakin meningkat di Afghanistan telah mendorong perniagaan menjual peralatan rumah dan barangan terpakai.

Kemelut ekonomi melanda negara miskin itu berikutan pembekuan lebih dari AS$9 bilion aset bank pusat Afghanistan oleh Amerika Syarikat serta penghentian dana oleh Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Sejak akhir bulan Ogos, ribuan penduduk Afghanistan menunggu dalam barisan panjang untuk mengeluarkan simpanan mereka. Pada 28 Ogos lalu, bank pusat Afghanistan mengeluarkan perintah kepada semua bank, me-netapkan had pengeluaran sementara AS$200, atau 20,000 afghani, bagi seorang pelanggan setiap minggu.

“Kami menikmati persekitaran yang aman setelah Taliban mengambil alih Afghanistan, tetapi ekonomi tidak begitu baik saat ini,” kata Khalid. Dia menyatakan industri kecil dan perniagaan terjejas dan pembinaan bangunan dan rumah ditangguhkan sementara jumlah pembeli menurun di pusat perniagaan.

Gambar bertarikh 13 Oktober 2021 menunjukkan pasar terpakai di Kabul, ibu negara Afghanistan. – Xinhua
Kelihatan kasut dan sandal terpakai yang dijual di pasar terpakai di Kabul. – Xinhua

“Lebih ramai rakyat Afghanistan memilih pakaian dan kasut terpakai ketika keadaan hidup mereka bertambah buruk,” kata peniaga Kamaluddin kepada Xinhua.

“Saya datang untuk membeli barang kerana harganya murah. Banyak orang kehilangan pekerjaan setelah perubahan politik baru-baru ini. Mereka menjual peralatan rumah mereka sebelum berhijrah ke negara jiran. Mereka pergi ke luar negara,” katanya.

Angka rasmi menunjukkan bahawa kira-kira 54.5 peratus rakyat Afghanistan hidup di bawah garis kemiskinan pada tahun 2019, tetapi jumlahnya meningkat menjadi 72 peratus pada tahun 2020.

Pada hujung minggu, delegasi Taliban mendesak pihak AS untuk melonggarkan larangan aset Afghanistan semasa pertemuan dengan wakil AS di Doha, ibu negara Qatar. Pada hari Isnin lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres meminta Taliban untuk memenuhi hak asasi dan kemanusiaan mereka.

“Ekonomi Afghanistan hancur. Bank ditutup dan perkhidmatan penting, seperti penjagaan kesihatan, telah digantung di kebanyakkan tempat. Saya mendesak dunia untuk mengambil tindakan dan memberi bantuan ke ekonomi Afghanistan untuk mengelakkan kejatuhan,” tulis Guterres dalam Twitternya.

Dia berkata masyarakat antarabangsa akan menerima padah jika tidak membantu rakyat Afghanistan sekarang. Pada bulan September, 3.8 juta orang Afghanistan mendapat bantuan makanan sementara 450,000 orang mendapat perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh PBB dan agensi bantuan lain.

Komuniti antarabangsa dan PBB mesti mencari jalan untuk mewujudkan keadaan yang membolehkan profesional dan penjawat awam Afghanistan terus bekerja untuk melayani penduduk Afghanistan di negara Asia Tengah yang kekurangan wang tunai dan bantuan asing, kata Guterres.

“Saya telah membawa beberapa peralatan rumah saya untuk dijual bagi menyelesaikan masalah kewangan saya,” kata Sayyed Abed, seorang penduduk Kabul, berharap agar masyarakat antarabangsa dapat membantu menghentikan penderitaan rakyat Afghanistan.

Abed juga menggesa ahli politik Afghanistan untuk bersatu, mengetepikan perbezaan dan berganding bahu untuk membentuk kerajaan yang inklusif.

Kerajaan Taliban yang baharu dibentuk baru-baru ini membayar gaji kepada pegawai kerajaan selama dua bulan di beberapa buah kementerian, termasuk kementerian pendidikan dan kesihatan awam. Majoriti kira-kira 400,000 pegawai penjawat awam tidak menerima gaji sejak Julai.

“Ini adalah tanggungjawab moral kerajaan untuk menyediakan keperluan asas kepada rakyat,” katanya. – Xinhua

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Ershun lahirkan panda kembar

CHONGQING, 8 OGOS – Seekor panda gergasi bernama Ershun telah melahirkan anak kembar 22 Julai lalu di sebuah zoo di barat daya China, Perbandaran...
- Advertisment -