Pasar Gadong dibuka dengan norma baharu

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Bangunan Pasar Gadong dan Operasi Perniagaan telah dibuka semula bermula hari ini dengan norma baharu yang diterapkan selaras dengan keadaan semasa yang dihadapi negara pada ketika ini.

Meskipun waktu operasi perniagaan di Bangunan Pasar Gadong dihadkan buat masa ini, namun rata-rata para penjaja dan peniaga di pasar berkenaan meluahkan rasa syukur kerana dibenarkan kembali beroperasi setelah terpaksa ditutup sebelum ini.

Waktu operasi perniagaan adalah setiap hari Isnin hingga Khamis, Sabtu dan Ahad, bermula pukul 6 pagi hingga 3 petang manakala Jumaat dari 6 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 3 petang.

Semasa ditemui pihak Media Permata pagi tadi, salah seorang penjaja di pasar berkenaan, Haji Suhaili bin Haji Piut yang mula berniaga di sana sejak tujuh tahun yang lalu, melahirkan rasa bersyukur kerana dapat kembali berniaga di sana yang merupakan mata pencarian utamanya.

Beliau mengongsikan bahawa pembukaan semula Pasar Gadong mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai pada hari pertama meskipun bekalan ikan yang terhad pada masa ini.

Haji Suhaili juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan yang banyak membantu dalam memastikan kebersihan dan menyediakan perkhidmatan kawalan yang diperlukan dalam memastikan segala arahan dan SOP sentiasa diamalkan pada setiap masa di sana.

Beliau seterusnya memohon kerjasama dan perhatian orang ramai yang akan mengunjungi Pasar Gadong tersebut untuk sentiasa mengikut SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan demi kelangsungan operasi pasar berkenaan termasuklah pemeriksaan suhu badan, mengimbas kod QR aplikasi BruHealth setiap kali masuk dan keluar dari bangunan serta penggunaan pelitup muka.

Pengawalan pintu masuk mengikut SOP COVID-19 dan mengehadkan jumlah keramaian pengunjung dilaksanakan.
Antara peniaga yang berniaga di Bangunan Pasar Gadong.