Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JAN – Pasar Kitani, salah satu aktiviti Bandarku Ceria kini dibukakan semula pada setiap Ahad bermula 9 Januari di kawasan letak kereta Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Jalan Menteri Besar dari 6 pagi hingga 11 pagi.
Dalam situasi Fasa Awal Endemik ini, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, dengan sokongan KSSUP telah mengungkayahkan pembukaan semula gerai hujung minggu Pasar Kitani ini sebagai satu strategi membantu pengusaha memasarkan hasil ladang mereka secara segar sekali gus meningkatkan hasil ladang.
Menurut Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, pembukaan semula gerai berkenaan memerlukan komitmen daripada para pengusaha dan pengunjung untuk mematuhi garis panduan Fasa Awal Endemik bagi pasar dan gerai terbuka dalam Rangka Kerja Pemulihan COVID-19 yang berkuat kuasa pada masa ini.
Perkara itu adalah perlu bagi sama-sama menjaga membantu untuk mencegah penularan COVID-19.
Langkah-langkah pengawalan untuk para pengusaha adalah berpandukan kepada garis panduan dan syarat yang telah ditetapkan seperti hanya peserta yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dibenarkan menyertai di petak yang ditetapkan, lengkap dua dos vaksin dan mempunyai kod BruHealth berwarna hijau dan kuning, memakai pelitup muka pada setiap masa, tidak hadir jika kurang sihat dan mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan diri pada setiap masa dan memastikan kebersihan dan sanitasi gerai.
Manakala itu, para pengunjung perlulah mematuhi garis panduan dan syarat-syarat yang ditetapkan seperti mengimbas kod QR BruHealth sebelum memasuki gerai jualan dan hanya individu yang mempunyai kod warna hijau atau kuning akan dibenarkan masuk dan kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun yang belum menerima atau melengkapkan suntikan vaksin adalah dibenarkan hadir dengan syarat ditemani oleh orang dewasa yang telah melengkapkan vaksinasi mereka.
Jabatan Pertanian dan Agrimakanan mengalu-alukan kehadiran pengunjung ke acara mingguan Pasar Kitani bagi sama-sama menyokong usaha peladang tempatan kitani.