Pasar raya futuristik dibuka di Timur Tengah

DUBAI, UAE, 7 SEPT – Timur Tengah semalam melancar kedai tanpa juruwang automatik pertama, ketika pasar raya Carrefour merealisasikan wawasannya untuk masa depan industri dalam gedung membeli-belah Dubai.

Seperti kejayaan kedai runcit Amazon yang dibuka pada 2018, pasar raya Carrefour itu kelihatan seperti mana-mana kedai biasa, dipenuhi dengan minuman soda dan snek, dan terletak di antara kedai-kedai lain di negara ini.

Pasar raya tersebut mempunyai sistem canggih yang menjejaki pergerakan pembeli-belah, menghapus barisan panjang dan membenarkan orang mendapatkan produk yang boleh dibawa keluar. Hanya mereka dengan aplikasi telefon pintar kedai dibenarkan masuk.

Hampir 100 kamera dipasang di siling kedai. Pelbagai sensor mendereti rak. Lima minit selepas pembeli meninggalkan kedai, telefon mereka akan menerima resit untuk produk yang diletak dalam beg mereka.

“Inilah masa depan pembelian,” beritahu Hani Weiss, CEO di Majid Al Futtaim, francais yang mengendali Carrefour di Timur Tengah, kepada The Associated Press.

“Kami percaya dalam kedai fizikal pada masa depan. Bagaimanapun, kami percaya pengalaman itu akan berubah.”

Pasar raya tersebut, bernama Carrefour City+, merupakan tambahan terbaharu kepada sistem automatik rantaian runcit. Peruncit utama di seluruh dunia menggabungkan alat perisian pembelajaran dan kecerdasan buatan dalam usaha untuk mengurangkan kos pekerja, menghapus barisan panjang dan mengumpul data penting mengenai tingkah laku pembeli.

“Kami menggunakan data untuk memberikan pengalaman lebih baik pada masa depan di mana pelanggan tidak perlu memikirkan mengenai produk seterusnya yang ingin dibeli mereka,” kata Weiss. ”Kesemua data disediakan demi memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih baik.” – AP

Seorang lelaki menggunakan kod QR dalam telefon pintar untuk memasuki pasar raya baharu Carrefour di Mall of the Emirates di Dubai, Emiriah Arab Bersatu kelmarin. – AP