Pasaran Asia meningkat

HONG KONG, 22 OKT – Pasaran Asia meningkat hari ini berdasarkan perasaan optimistik bahawa China dan Amerika Syarikat (AS) akan menandatangani satu perjanjian perniagaan separa pada bulan depan, sementara pound merosot sedikit tatkala peniaga menunggu satu lagi pengundian Brexit di Westminster.

Donald Trump memperkukuh harapan semalam bahawa beliau dan Xi Jinping akan memeterai satu perjanjian kecil, berkata China telah pun memulakan pembelian produk perladangan, dan bahagian pertama komitmen yang lebih luas hampir selesai.

“Kami boleh menandatangani dokumen yang lengkap dengan China pada fasa pertama,” kata Trump di Rumah Putih, menambah mereka akan beralih ke fasa seterusnya selepas itu.

Wakil Perdagangan Robert Lighthizer berkata usaha sedang dilakukan untuk menyediakannya apabila pemimpin bertemu di sidang kemuncak APEC di Chile pada bulan depan. – AFP