Pasaran bon Malaysia catatkan pertumbuhan

KUALA LUMPUR, 25 MAC – Pasaran bon dalam mata wang tempatan di Malaysia meningkat enam peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2019 kepada RM1.59 trilion (AS$363.1 bilion), menurut Bank Pembangunan Asia (ADB).

Bank itu berkata sehingga akhir 2019, pasaran bon dalam mata wang tempatan di Malaysia merupakan yang kedua tertinggi di rantau ini dari segi nisbah jumlah nilai bon kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, iaitu 104.6 peratus selepas Korea Selatan pada 130.5 peratus.

Bagaimanapun, pasaran bon dalam mata wang tempatan di negara ini menguncup 0.5 peratus suku ke suku pada suku keempat 2019, didahului penurunan bon kerajaan dalam mata wang tempatan.

“Jumlah nilai bon-bon kerajaan dalam mata wang tempatan turun 1.6 peratus suku ke suku kepada RM773.2 bilion, memandangkan jumlah nilai bil-bil kerajaan pusat dan bank pusat berkurangan pada suku keempat 2019,” kata laporan Asia Bond Monitor bagi Mac 2020 yang dikeluarkan hari ini.

Mengenai jumlah nilai bon korporat dalam mata wang tempatan,  ADB berkata ia meningkat 0.7 peratus suku ke suku kepada RM712.2 bilion pada akhir Disember 2019, manakala jumlah nilai sukuk (bon Islam) adalah RM937.7 bilion pada akhir 2019.

“Nilai bon korporat dalam mata wang tempatan bagi 30 penerbit teratas berjumlah RM424.9 bilion pada penghujung Disember 2019, mencakupi 59.7 peratus daripada nilai keseluruhan bon korporat mata wang tempatan,” menurut bank itu. ADB berkata syarikat milik kerajaan, Danainfra Nasional Bhd, berada di kedudukan teratas berbanding semua penerbit pada 2019.

Ia juga menerajui sektor kewangan dengan mengatasi semua sektor dengan jumlah nilai bon RM219.7 bilion atau merangkumi 51.7 peratus daripada bon korporat mata wang tempatan agregat bagi 30 penerbit teratas.

ADB berkata secara keseluruhan, terbitan bon korporat mata wang tempatan melonjak 2.6 peratus suku ke suku kepada RM47.3 bilion pada suku keempat 2019. Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pakar Ekonomi ADB, Yasuyuki Sawada, berkata pasaran kewangan di rantau ini telah merasai kesan wabak COVID-19, dengan aktiviti pelaburan dan sektor asing menjadi lembap, ditambah pula isu perdagangan di antara Amerika Syarikat dengan China.

“Usaha untuk mengurangkan kesan negatif daripada wabak itu, melalui pakej rangsangan dan langkah-langkah monetari untuk menyokong isi rumah, perniagaan dan pasaran kewangan yang terjejas, perlu diteruskan,” katanya. – Bernama