Pasaran bon Malaysia meningkat

KUALA LUMPUR, 19 JUN – Malaysia antara ekonomi Asia Timur sedang pesat membangun menyaksikan pasaran bon mata wang tempatan terus berkembang pada suku pertama 2019, walaupun terdapat konflik perdagangan dan pertumbuhan global yang sederhana, menurut Bank Pembangunan Asia (ADB).

Dalam terbitan terkini laporan suku tahunan ‘Asia Bond Monitor – June 2019’ yang dikeluarkan hari ini, ADB berkata jumlah terkumpul bon mata wang tempatan Malaysia seba-nyak AS$353.0 bilion pada akhir Mac 2019, mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 7.6 peratus berbanding suku pertama 2018.

“Pertumbuhan sebahagian besarnya datang daripada bon kerajaan, terutamanya bon kerajaan pusat berikutan terbitannya meningkat pada suku pertama 2019, manakala bon korporat turut menyumbang kepada pertumbuhan positif, tetapi dalam skala yang lebih kecil,” katanya.

Menurut laporan itu, saiz pasaran bon kerajaan Malaysia sebanyak AS$188.0 bilion pada akhir Mac, meningkat 8.7 peratus tahun ke tahun dalam mata wang tempatan, didorong sebahagian besarnya oleh peningkatan bon kerajaan pusat.  – Bernama