Pasaran bon M’sia mungkin dikeluarkan dari WGBI

KUALA LUMPUR, 21 OKT – Walaupun risikonya rendah, pasaran bon Malaysia tidak boleh menolak kemungkinan ia dikeluarkan daripada Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI), kata Ketua Penyelidik RAM Ratings, Kristina Fong.

Beliau berkata Malaysia kekal dalam senarai pemantauan untuk potensi dikeluarkan walaupun risikonya rendah ketika ini berikutan inisiatif Bank Negara Malaysia selain pelbagai tindakan yang dilakukan bagi menangani kebimbangan pelabur. “Walaupun keputusan terbaharu kajian FTSE Russell pada 26 September memihak kepada Malaysia, ketidaktentuan berkaitan dengannya dan potensi kemasukan bon China dalam WGBI, mendorong pelabur asing untuk tidak memasuki pasaran bulan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. Pada September, terbitan bon korporat Malaysia meningkat kepada RM14.9 bilion, didorong oleh penerbitan kukuh sektor kuasi-kerajaan dan swasta. – Bernama