KUALA LUMPUR, 21 Julai – Pasaran Penyumberan Luar Proses Perniagaan (BPO) Malaysia dijangka mencecah US$1.4 bilion (US$1=RM4.28) menjelang akhir 2021 pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul 7.9 peratus, kata International Data Corporation (IDC).
Pertumbuhan pasaran BPO berkait terutamanya dengan peningkatan permintaan terhadap segmen penjagaan pelanggan dan penyelesaian analisis menyeluruh oleh perusahaan Malaysia, kata agensi itu dalam penyelidikan terbaharunya yang bertajuk “Business Process Outsourcing (BPO) Market in Malaysia 2017”, (Pasaran Penyumberan Luar Proses Perniagaan (BPO) di Malaysia pada 2017) yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Penyelidikan itu melaporkan bahawa sektor Sumber Manusia dan Kewangan & Perakaunan membentuk tiga perempat daripada jumlah pasaran BPO pada 2016, diikuti sektor penjagaan pelanggan pada 14.0 peratus dan sektor pemerolehan merupakan segmen paling kecil pada 9.0 peratus.
“Perusahaan di Malaysia digesa meningkatkan kecekapan mereka dengan menambah baik keseluruhan pengalaman pelanggan, menyepadu penggunaan yang lebih baik dan meningkatkan fleksibiliti dan inovasi mereka dalam proses perniagaan,” kata Ketua Perkhidmatan (IDC ASEAN) Sreenath Kandarpah.
Beliau berkata majoriti perusahaan Malaysia akan kelaknya bergantung kepada penyedia BPO untuk melaksanakan perkhidmatan yang cekap dan berkesan bagi proses perniagaan mereka.
“Dengan peningkatan permintaan pasaran, kami menjangka penyedia BPO akan memanfaatkan teknologi 3rd Platform (Platform Ketiga) seperti pengkomputeran awan, sosial, data raya dan analisis serta teknologi mobiliti untuk menukarkan perniagaan tradisional mereka kepada proses berautomasi,” kata Kandarpah.
IDC ialah penyedia global utama risikan pasaran, khidmat nasihat dan acara bagi pasaran teknologi maklumat, telekomunikasi dan teknologi pengguna. – Bernama