KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Pasaran hartanah tempatan terus lembap pada separuh pertama tahun ini ekoran pelabur berpotensi mengambil pendekatan ‘tunggu-dan-lihat’, demikian menurut hasil kajian oleh Knight Frank Malaysia.
Bertajuk ‘Sorotan Harta Tanah’ bagi separuh pertama 2017, laporan itu mengkaji prestasi pasaran merentasi pelbagai hartanah – kediaman, pejabat dan runcit, dan menonjolkan trend dan unjuran di pelbagai kawasan iaitu Kuala Lumpur, Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu. Pengarah Urusannya, Sarkunan Subramaniam berkata meskipun pasaran keseluruhannya lemah, pemulihan ekonomi negara baru-baru ini selain pengukuhan mata wang tempatan dan pasaran pekerjaan yang stabil, dapat menyediakan peluang pemulihan dalam pasaran kondominium mewah. “Dalam sektor pejabat, kualiti bekalan pejabat terus ditingkatkan untuk memenuhi keperluan perusahaan besar dan syarikat multinasional. Berdasarkan peningkatan bekalan dan persaingan, gedung membeli-belah kini berhadapan cabaran untuk mengekalkan pasaran runcit. – Bernama