Pasaran Karbon percepatkan peralihan sumber lebih bersih

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Minggu Tindakan Iklim diteruskan lagi hari ini dengan dua seminar tematik yang memfokuskan kepada pasaran karbon dan kenderaan elektrik (EV).

Seminar yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri, Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Haji
Matsatejo bin Sokiaw.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pengerusi bersama Jawa-tankuasa Kerja bagi Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022 bagi Minggu Tindakan Iklim.

Ahli-ahli panel seminar bagi membincangkan mengenai pasaran karbon ialah Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Agnete Johnsgaard-Lewis; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Brunei LNG, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib dan pensyarah Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Lutfi Abdul Razak dengan Profesor Madya Dr Abby Tan dari UBD sebagai moderator.

Seminar itu menyentuh mengenai pengenalan mengenai pasaran karbon yang bertujuan untuk mempercepatkan peralihan kepada sumber tenaga yang lebih bersih, terutamanya untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida.

Barisan ahli panel yang membincangkan mengenai pasaran karbon semasa seminar sempena Minggu Tindakan Iklim MYCE 2022 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
Antara yang hadir semasa seminar sempena Minggu Tindakan Iklim berkenaan.

Selain itu, ia juga merupakan satu idea yang menggunakan kredit karbon sebagai ‘produk’ dalam mekanisme pemasaran di mana syarikat atau mana-mana individu boleh membelinya untuk mengimbangi jejak karbon mereka sendiri.

Manakala itu, sesi seminar mengenai EV pula mengetengahkan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohd Salihin bin Haji Aspar; Pengurus Teknikal dan Waranti Boustead Sdn Bhd, Ho Wei Kong dari Brunei Automobile Traders Association (BATA); Dr Supry bin Haji Ladi dari BATA dan Ketua Bahagian Servis Sokongan Berakas Power Company, Haji Suharafadzil bin Haji Yusop dengan Ketua Unit Dasar Sosial dan Awam, Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS), Dr Azrinah binti Haji Abdul Rahman sebagai moderator.

Sesi seminar tersebut turut menekankan, terdapat kajian menunjukkan bahawa pelepasan gas rumah hijau yang dicampur dengan baik telah menyumbang kepada pemanasan
sebanyak 1.5 darjah Celsius dan salah satu sumbernya adalah daripada pengangkutan darat.

Minyak petrol dan diesel kekal sebagai bahan api utama yang digunakan dalam sektor pengangkutan di Negara Brunei Darussalam.

Selaras dengan strategi ke-3 dalam Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, Jawatankuasa Bersama Kenderaan Elektrik (EVJTF) telah ditubuhkan, dengan harapan dapat mengurangkan penggunaan bahan minyak dengan ketara dan seterusnya mengurangkan pelepasan gas rumah hijau daripada sektor ini.

Ia juga dikongsikan bahawa pada 25 Mac 2021, Projek Perintis EV selama dua tahun telah berjaya dilancarkan yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penggunaan EV supaya Brunei boleh mencapai 60 peratus bahagian EV dalam jumlah jualan tahunan menjelang 2035.

Pada masa ini, Brunei Darussalam masih mendraf dasar-dasar dan peraturan bagi EV yang akan dilancarkan dalam masa yang terdekat.

Peralihan ke arah elektrifikasi kenderaan masih kekal sebagai laluan yang boleh dilaksanakan untuk Brunei Darussalam, bagi proses jangka panjang.

Sesi berkenaan telah menekankan kepentingan EV untuk iklim masa depan, dan bagaimana Negara Brunei Darussalam boleh komited menuju ke arah pengangkutan hijau untuk masa depan yang lebih baik.