Pasaran maya diperkenalkan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Sebagai salah satu daripada peranan Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam memastikan industri-industri di Negara Brunei Darussalam terus berdaya tahan seperti industri makanan dan minuman (F&B), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama padu daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Darussalam Enterprise (DARe) dan juga pihak Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) akan memperkenalkan satu inisiatif untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan dengan menyediakan satu platform pasaran maya iaitu Community for Brunei.

Ini adalah susulan siaran media Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pada 6 April lalu mengenai peniadaan gerai Ramadan di bawah kawalan jabatan-jabatan bandaran, jabatan-jabatan daerah dan Jabatan Belia dan Sukan bagi mempertingkatkan lagi langkah-langkah membendung penularan COVID-19 di negara ini demi kesejahteraan dan keselamatan orang awam.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, objektif Community for Brunei adalah untuk menyediakan platform yang akan dapat mengumpulkan dan menyatukan komuniti Brunei bagi membantu PMKS untuk menjual barangan mereka di dalam pasaran maya dan membuat pembayaran secara digital dengan menggunakan kad-kad debit atau kredit.

Yang Berhormat Dato juga menjelaskan bahawa Community for Brunei akan melancarkan dua projek.

Community for Brunei melalui laman web www.CommunityforBrunei.com yang disokong oleh BIBD, juga diinspirasikan dan diurus oleh anak-anak tempatan iaitu The Collective, Think Axis, Alicia Newn dan beberapa pihak lain yang mempunyai objektif yang sama khususnya untuk membantu PMKS,” jelasnya.

Gambar menunjukkan beberapa gerai makanan yang diusahakan oleh para belia di negara ini. Satu platform pasaran maya iaitu Community for Brunei akan dilancarkan bagi orang awam untuk membeli secara dalam talian dan membuat pembayaran secara digital dengan menggunakan kad-kad debit atau kredit. – Gambar oleh Muiz Matdani

“Community for Brunei akan melancarkan dua projek iaitu Projek Community for COVID akan dilancarkan pada hari Jumaat, 17 April 2020 dan platform ini akan memaklumkan kepada orang awam keperluan petugas barisan hadapan yang telah dikenalpasti seperti makanan dan minuman dan keperluan-keperluan lain.

“Keperluan-keperluan berkenaan akan dikongsikan menerusi laman web Community for Brunei bagi orang awam memilih keperluan yang ingin disumbangkan dan dihantar kepada petugas barisan hadapan di keempat-empat pusat kesihatan bagi COVID-19, dan mengikut masa yang dipersetujui.

“Platform ini diharapkan akan dapat memberi kemudahan untuk mengenal pasti demand and supply dan pada masa yang sama, dapat mengelakkan pembaziran,” tambahnya.

Menurutnya, selain dari vendor yang terdiri daripada perusahaan kecil, pengusaha seperti runners dan syarikat penghantaran (sebagai contoh GoMamam dan Dart) akan dapat mengembangkan perusahaan mereka ketika berha-dapan dengan waktu yang mencabar ini.

Inisiatif tersebut akan memudahkan serta menyelaras dengan lebih berkesan lagi hasrat orang Brunei yang ingin saling bantu-membantu sesama masyarakat khususnya keperluan barisan hadapan.

Yang Berhormat Dato kemudiannya menjelaskan mengenai projek keduanya iaitu Community for Ramadhan yang akan dilancarkan pada 1 Ramadan 1441 Hijrah, juga di bawah www.CommunityforBrunei.com dan ianya akan memberikan peluang kepada orang awam untuk merasakan suasana gerai Ramadan secara dalam talian walaupun gerai Ramadan ditiadakan pada tahun ini.

“Onboarding atau kemasukan para pengusaha mikro, kecil dan sederhana akan dibukakan pada hari Isnin 20 April 2020, dan beberapa garis pandu akan diterangkan dengan lebih lanjut oleh pihak BIBD pada hari Jumaat, 17 April 2020 melalui media massa.

Yang Berhormat Dato berhasrat semoga PMKS akan dapat mengambil manfaat daripada pasaran maya tersebut dengan penyediaan kemudahan kepada orang ramai untuk memilih dan membeli juadah makan minum bagi berbuka puasa dan dihantar ke rumah atau tempat masing-masing.

Pada masa yang sama, penyediaan pasaran maya berkenaan juga adalah selari dan mematuhi segala peraturan dan nasihat Kementerian Kesihatan yang menyarankan penjarakan fizikal dan sosial.

Pemohon-pemohon yang berhasrat untuk menjadi vendor di dalam pasaran maya ini perlulah terlebih dahulu membuat permohonan secara dalam talian di Bahagian Pendaftaran Syarikat-syarikat dan Nama-nama Perniagaan (ROCBN), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan mengisikan butir-butir maklumat-maklumat yang diperlukan dan memilih Aktiviti Perniagaan 56 bagi Aktiviti Perkhidmatan Makanan dan Minuman (Food & Beverages Services Activities).

Bagi permohonan pendaftaran perniagaan 300 yang terawal sehingga 30 April ini, yuran pendaftaran akan dikecualikan. Bagi tatacara pendaftaran perniagaan, orang ramai bolehlah merujuk kepada Bahagian ROCBN di talian 2380505, 2383444 atau melalui emel di [email protected]

“Insya-Allah dengan usaha yang berterusan ini, sama-sama kita menanai pendekatan whole of nation dan whole of society untuk kita sama-sama menangani dan mengatasi impak wabak COVID-19 kepada negara ini,” jelas Yang Berhormat Dato pada penghujung kenyataannya.