Pasaran teknologi Korea, global terjejas

SEOUL, 11 JULAI – Satu perbalahan diplomatik dengan Jepun mengancam pengeluaran komponen Korea Selatan yang memacu pasaran telefon pintar dan skrin komputer, dengan penganalisis mengatakan ia boleh mengancam pasaran teknologi global dan kenaikan harga menjejaskan pengguna.

Tokyo minggu lalu mengatakan ia akan mengehadkan eksport tiga jenis kimia yang penting kepada industri cip dan telefon pintar Korea Selatan dalam perbalahan meningkat sedekad lamanya terhadap isu buruh paksa Jepun semasa Perang Dunia ke-2.

Dan isu itu pula tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir dalam masa terdekat dan terdapat kebimbangan ia juga boleh menangguhkan pengeluaran teknologi 5G dan skrin boleh lipat futuristik.

“Jika situasi ini berterusan, kemungkinan akan ada pengurangan dalam pengeluaran yang akan menambahkan harga cip dan pastinya akan menaikkan harga produk siap kelak,” kata Avril Wu, pengarah Penyelidikan kanan di firma pasaran pintar berpusat di Taipei, TrendForce.

Meskipun Korea Selatan mempunyai stoknya, kekurangan bekalan akan dirasakan selepas tiga bulan, katanya memberitahu AFP.

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in menggelar situasi itu ‘kecemasan tak dijangka’ dan memberitahu ketua perniagaan untuk bersiap sedia bagi menghadapi krisis itu. – AFP

Gambar fail 30 April lalu menunjukkan mikrocip Samsung Electronics’ dipamerkan di sebuah kedai di Seoul, Korea Selatan. Jepun merupakan pembekal utama kimia yang digunakan untuk membuat cip komputer di kebanyakan peranti namun perbalahan antara Korea Selatan dan Jepun mengancam bekalan peranti teknologi Korea khasnya dan dunia amnya. – AP