Pasport Immunitee M’sia berjaya lakukan pengesahan pertama di Singapura

SINGAPURA, 14 APRIL – Immunitee, aplikasi pasport kesihatan Malaysia berasaskan blockchain-awam berjaya melakukan pengesahan penumpang langsung pertamanya dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL ke Singapura pada 10 April, menggunakan keputusan digital ujian calitan COVID-19 elektronik berasaskan blockhain yang terjamin dan tanpa kertas.

Secara kerjasama dengan Qualitas Medical Group, penumpang berkenaan melakukan ujian calitan RT-PCR beliau di klinik Qualitas dan keputusannya disimpan secara terus ke dalam blockchain membolehkan kod QR beliau dalam aplikasi Immunitee dapat dibaca dan diterima oleh imigresen di Singapura.

“Immunitee berjaya mencapai kejayaan penting ini. Kami percaya kekuatan kami terletak pada bagaimana kami mengambil serius tentang keselamatan data dan maklumat sulit,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Immunitee Health Passport Datuk Dr Nick Boden, dalam satu kenyataan hari ini.

Immunitee membolehkan pengguna menyimpan keputusan ujian calitan COVID-19 mereka dalam blockchain awam, memastikan bentuk keselamatan data tertinggi dan mencegah keputusan ujian palsu daripada digunakan untuk menaiki pesawat.

Menerusi rangkaian makmal dan klinik rakan kerjasama Immunitee di Malaysia dan negara-negara ASEAN lain dan pengesahannya di sistem pengesahan sejagat Affinidi yang diasaskan Temasik, pengalaman perjalanan yang lancar, selesa dan selamat kini hampir menjadi kenyataan. – Bernama