Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan Kementerian Pertahanan
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JAN – Dalam usaha mengeratkan jalinan persahabatan menerusi pemerkasaan bidang ketenteraan, RSS Endeavour Tentera Laut Republik Singapura (TLRS) telah berjaya menjalankan Passage Exercise (PASSEX) bersama KDB Daruttaqwa Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) semasa berada di perairan negara sementara menganjurkan Midshipmen Sea Training Deployment (MSTD), baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang diterima, semua mesyuarat perancangan dan penyelarasan PASSEX telah dijalankan secara dalam talian manakala pelaksanaan PASSEX telah pun dikendalikan tanpa interaksi fizikal di antara kedua-dua kapal selaras dengan garis pandu COVID-19 daripada Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kesihatan.
Semasa PASSEX, kedua-dua kapal menjalankan beberapa siri komunikasi dan latihan manuver sebagai tanda persahabatan yang telah lama terjalin antara TLDB dan TLRS. Ini diikuti dengan farewell pass di mana kedua-dua angkatan laut mengambil bahagian dalam upacara piping the side dan berbaris di sisi kapal untuk mengucapkan selamat tinggal serta merakamkan penghargaan atas persahabatan yang baik antara kedua-dua tentera laut bagi mengakhiri acara tersebut.
PASSEX memberi peluang kepada semua anak kapal dan pegawai-pegawai dari kedua-dua angkatan laut untuk berlatih dan meningkatkan keupayaan mereka semasa melakukan siri latihan.
Kedua-dua pegawai pemerintah melahirkan rasa syukur dan berpuas hati dengan latihan tersebut dan mengharapkan lebih banyak peluang untuk mengeratkan hubungan tentera laut pada masa hadapan.
TLDB kekal komited dalam mengekalkan persahabatan yang erat dengan TLRS dan menjelajahi peluang membina kapasiti ke arah matlamat kerjasama di laut. TLDB mendoakan perjalanan yang lancar bagi RSS Endeavour pulang ke Republik Singapura.