Pastikan hak pekerja swasta terpelihara

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Setiap majikan diwajibkan mematuhi undang-undang dan peraturan bagi memastikan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan harmoni serta mewujudkan hasil kerja yang positif dan produktif untuk pekerja di sektor swasta.

Dalam kenyataan Jabatan Buruh, baru-baru ini, antara hak pekerja dalam sektor swasta yang harus diberi perhatian oleh majikan adalah hari rehat pekerja.

Menurut Perintah Pekerjaan 2009, Bab 63, seorang pekerja berhak mendapat satu hari rehat (tengah malam hingga tengah malam berikutnya) pada setiap minggu tanpa gaji.

Hari rehat hendaklah diberikan pada hari Ahad atau mana-mana hari lain sepertimana yang dimaklumkan oleh majikan sebelum permulaan setiap bulan.

Sementara itu, bagi pekerja syif, ianya boleh dikira satu hari rehat jika pekerja diberikan rehat 30 jam secara berterusan. Kenyataan menambah pekerja adalah berhak untuk menerima cuti awam sebanyak 11 hari dalam setahun.