Pastikan harga getah Sabah kembali stabil

KENINGAU, 12 Jun – Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Junz Wong hari ini berjanji akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan harga komoditi getah kembali stabil.

Beliau berkata antara usaha yang akan diambil termasuk melakukan beberapa pembaharuan  dalam Lembaga  Industri Getah Sabah bagi meningkatkan harga getah sekali gus membantu  menaikkan  pendapatan pekebun kecil.

“Bagaimanapun saya mohon diberi sedikit masa. Saya akan memperjuangkan nasib serta membantu pekebun kecil kerana ini adalah hasrat saya,” katanya ketika ditemui Bernama selepas melawat kilang pemprosesan getah swasta, di sini.

Pada masa sama beliau turut menasihati pekebun kecil agar tidak menebang pokok getah masing-masing untuk beralih kepada jenis pertanian lain semata-mata kerana harga getah semasa yang rendah.

Getah masih antara komoditi penyumbang kepada pendapatan negeri dan keperluan serta permintaan terhadap bahan itu masih tinggi, katanya. – Bernama