Pastikan insurans liputi perlindungan COVID-19

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 DIS – Orang ramai yang berhasrat untuk keluar negara disarankan untuk mendapatkan perlindungan Insurans Kesihatan Perjalanan yang meliputi perlindungan COVID-19 melalui ejen insurans yang berdaftar di negara ini.

Kadar perlindungan insurans tersebut boleh meliputi dari $30,000 ke $100,000, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah (gambar) menjelaskan perkara tersebut semasa memberi respons mengenai perlindungan minimum $50,000. Yang Berhormat Dato seterusnya menambah, pihak insurans sudah menentukan harga yang diberikan bagi mereka yang hendak keluar negara yang mana kadar-kadar tersebut bergantung kepada negara yang hendak dikunjungi untuk tempoh berapa lama.

Katanya lagi, “Seperti negara ASEAN ia mempunyai kadar masing-masing dan jika hendak mengunjungi negara di luar dari negara ASEAN, kadar insurans akan berbeza.”

Perlindungan insurans ini bukan sahaja meliputi perlindungan untuk COVID-19 tapi ia meliputi insurans pelancongan yang biasa seperti perlindungan jika ada kecemasan, kehilangan bagasi dan lainnya semasa berada di luar negara. “Orang ramai boleh mendapatkan perlindungan Insurans Kesihatan Perjalanan ini yang sudah disediakan oleh pihak insurans,” jelasnya.